Wednesday, 22 January 2014

Kisah Nabi Adam



"Aku ingin mencipta manusia untuk menjadi khalifah di Bumi ini" Allah swt memberitahu para malaikatNya.

Para malaikat semua berasa bimbang. Adakah kerana mereka lalai dalam menjalankan tanggungjawab dan ketaatan mereka sehinggakan Allah swt mahu mencipta makhluk lain? Tidakkah manusia nanti hanya akan membuat kerosakan di Bumi Allah itu nanti??

"Aku lebih mengetahui apa yang kamu tidak ketahui," jawapan yang ringkas dari Allah swt itu sudah cukup untuk membuat para malaikat semua terdiam dan hanya berbisik bisik sesama mereka dalam membenarkan kata kata Allah swt itu.

Allah berfirman, "Manusia itu, iaitu Adam, Aku ciptakan daripada tanah. Apabila sudah siap terbentuk, akan Aku hembuskan rohKu supaya dia dapat hidup, bergerak, berperasaan, berpengertian dan berkesedaran. Apabila Adam sudah hidup dengan berpengertian dan kesedaran, hendaknya kamu sekalian sujud dan memberi hormat kepadanya."

Dengan itu,terciptalah manusia pertama ciptaan Allah, iaitu Nabi Adam a.s.
Dalam firman Allah swt yang menyuruh makhluk makhluk ciptaanNya untuk sujud kepada Nabi Adam a.s bukan bermaksud untuk menyembah Nabi Adam a.s tetapi sekadar untuk memberi penghormatan kepadanya.

Penghormatan yang diberikan adalah kerana Nabi Adam a.s merupakan ciptaan Allah yang istimewa.
Antaranya :-

1)Nabi Adam a.s merupakan manusia yang pertama sekali dicipta Allah swt.
Seluruh manusia lain selain Nabi Adam a.s semuanya adalah keturunan Nabi Adam. Dan dalam keturunan Nabi Adam ini, terdiri daripadanya Nabi dan Rasul (orang-orang yang suci di sisi Allah). Ada juga di antara keturunan Nabi Adam a.s yang pandai dan hebat sehingga menyebabkan kemajuan dunia dari abad ke abad meskipun ada di antara mereka yang akan menjadi perosak dunia.

2)Nabi Adam a.s dicipta Allah swt dengan kedua tanganNya sendiri.
Tidak seperti ciptaanNya yang lain, Allah hanya berkata "Kun Fayakun" maka terjadilah ia. Mencipta Nabi Adam a.s sama seperti mencipta Arasy dan syurga Allah di mana Allah mencipta dengan tanganNya sendiri.

3)Nabi Adam a.s adalah seorang Nabi.
Nabi adalah seorang yang menyampaikan wahyu wahyu Allah. Menurut para ulama, para Nabi dan Rasul mempunyai darjat kemuliaan yang sama dengan para malaikat. Bahkan ada juga para ulama yang berpendapat bahawa darjat kemuliaan Nabi dan Rasul ini lebih tinggi daripada malaikat (Wallahualam). 

4)Nabi Adam a.s dan seluruh keturunnya merupakan khalifah di Bumi.
Sama dengan terciptanya para malaikat untuk menjadi khalifah di langit.

5)Nabi Adam a.s merupakan sebaik baik ciptaan Allah swt.
Yang mempunyai jasmani dan rohani sehingga ia menjadi makhluk yang beradab dan berkebudayaan dan terus melangkah maju.
Nabi Adam a.s menggerakkan kedua tangan dan kakinya, lalu dia terbersin, sekaligus menggerakkan sekujur tubuhnya, berfungsi paru paru dan jantungnya dan  terbuka kedua matanya bersama sama ucapan "Alhamdulillahi Rabbil Alamin (Segala pujian bagi Allah yang mengatur seluruh alam)."

Para malaikat berasa kagum dengan ucapan pertama yang terpacul dari mulut Nabi Adam a.s lalu mereka serentak menjawab, "Yarhamakallahu, ya Adam (Allah selalu menumpahkan rahmatNya ke atas engkau, ya Adam, dan selamatlah)."

Para malaikat mengelilingi Nabi Adam a.s lalu sujud dan menghormatinya sebagaimana yang telah diperintah oleh Allah swt. Tetapi lain ceritanya bagi satu lagi makhluk Allah, iaitu syaithan. Syaithan dengan riak dan sombongnya enggan sujud kepada Nabi Adam a.s.

"Engkau ciptakan aku daripada api manakala Adam dari tanah. Api lebih mulia dari tanah. Jadi mengapa harus aku sujud kepadanya?" syaithan berkata megah di hadapan Allah swt.

Mendengar bantahan daripada syaithan itu, Allah swt menjadi marah lalu menghalau syaithan daripada syurga. Syurga bukanlah tempat bagi mereka yang ingkar kepada Allah swt.

Sebelum syaithan melangkah keluar daripada syurga, sempat dia berpesan,
"Ya Allah! Engkau usir aku dari syurga ini hanya kerana Adam. Aku bersumpah ya Allah. Aku bersumpah bahawa aku dan semua anak keturunanku akan menjadi musuh bagi Adam dan anak keturunannya buat selama-lamanya. Mereka nanti akan aku sesatkan. Mereka nanti akan aku celakakan. Akan aku ajak mereka untuk berbuat keburukan dan kerosakan di dunia itu nanti,agar mereka dapat bersama-sama aku di neraka nanti." Itu janji syaithan.

Lalu Allah menjawab, "Untuk menghindari tipu dayamu, akan Aku berikan satu senjata yang paling ampuh kepada manusia, iaitu akal. Akal mereka itu nanti akan Aku bimbing dengan petunjuk petunjuk dariKu. Mereka yang menggunakan akal dapat membezakan baik dan buruk sehingga tidak dapat engkau sesatkan. Tapi bagi mereka yang tidak menggunakan akal, maka mudahlah untuk kau goda, dan mereka ini akan dipertanggungjawabkan kepadaKu di hari kemudian (hari Akhirat)."

Mendengar kata kata Allah itu, syaithan semakin irihati dan dengkinya kepada manusia kian membara. Dia berpaling kepada Adam. Ditelitinya Adam. Dia ingin mengenalpasti kelemahan yang ada pada diri manusia bagi memudahkan kerjanya nanti. Akhirnya syaithan membuat kesimpulan bahawa di samping akal yang sungguh hebat itu,kelemahan terbesar manusia adalah nafsu.
Kepada Adam, Allah swt mengajar setiap satu pengetahuan untuk hidup di muka Bumi.

Adam diberi tempat di dalam syurga. Makanan dan minuman tersedia ada. Dan setiap apa yang diinginkan semuanya cukup. Namun, Adam tetap merasa sepi dan sunyi. Die memerlukan seorang pedamping di sisi. Allah swt tahu akan kesepian yang melanda hati Nabi Adam a.s. Dengan sifatNya yang maha mengasihani, maka Allah ciptakan satu lagi makhluk yang serupa dengan Nabi Adam a.s, cuma yang ini adalah wanita.

Di kala Nabi Adam a.s sedang tidur, Allah swt menciptakan isteri Nabi Adam a.s dari tulang rusuk kirinya. Setelah Nabi Adam a.s terjaga dari tidurnya, dia melihat seseorang berada di sampingnya dan kepadanya Nabi Adam a.s bertanya, "Siapakah engkau? Dan apakah namamu?". "Aku adalah wanita, dan aku masih belum mengetahui namuku lagi."

Nabi Adam a.s berasa sungguh gembira melihat wanita di hadapannya dan berkata, "Engkau aku berikan nama Hawa, yang bermaksud dia yang aku rindui."

Dengan kehadiran Hawa di syurga itu,hilanglah sudah kesepian Nabi Adam a.s.
Allah swt berpesan kepada Nabi Adam a.s dan isterinya,Hawa untuk tidak mendekati bahkan makan buah daripada pohon Khuldi itu. Larangan pohon khuldi ini supaya dapatlah Nabi Adam a.s dan isterinya menahan nafsu diri. Dengan adanya larangan itu, kedua mereka dapat diuji tentang ingatan dan ketaatannya kepada Allah swt. Allah swt jua memperingati mereka untuk sentiasa berwaspada kerana syaithan akan sentiasa ada untuk mengotakan janjinya menyesatkan manusia.

Seperti yang telah dijanjikan, syaithan berjaya untuk masuk ke syurga. Didekati Nabi Adam a.s dan Hawa.

"Hai Adam! Aku datang untuk memberi nasihat yang baik kepadamu. Di sana itu ada satu pohon yang sungguh lazat buahnya. Bila buah itu kau makan, kau dan isterimu akan tinggal di syurga ini untuk selamanya dan engkau akan miliki satu kerajaan yang tak akan pernah rosak" syaithan sudah menjalankan kerjanya. Dihasutnya Nabi Adam a.s untuk melanggar larangan Allah itu.

Bagi cubaan pertama, syaithan gagal untuk memujuk Nabi Adam a.s.
Untuk cubaan kedua, juga gagal.
Namun sifat syaithan yang tak pernah kenal erti putus asa, di cubanya kali ketiga, kali keempat, kali kelima dan seterusnya. Syaithan tahu manusia mempunyai satu lagi kelemahan selain nafsu iaitu sifat mudah lupa. Jadi ditunggunya hari di mana Nabi Adam a.s lupa akan larangan Allah itu.

Akhirnya hari itu tiba. 
Ketika itu Nabi Adam a.s dan Hawa sedang kelaparan. Dipujuknya oleh syaithan untuk menjamah buah khuldi itu. Kali ini Nabi Adam a.s benar benar terlupa akan larangan Allah swt apabila melihat buah khuldi yang masak ranum itu.

Kedua dua mereka menjamah buah tersebut. Dan syaithan ketawa gembira.
Sejurus Nabi Adam a.s dan Hawa menjamah buah khuldi itu, tiba tiba pakaian yang membaluti tubuh mereka hilang. Mereka menjadi malu. Lalu mereka menyembunyikan diri supaya tidak dilihat oleh Allah swt.

"Hai Adam! Apakah engkau sedang menyembunyikan diri dariKu?" Allah swt berfirman.

Nabi Adam a.s menjawab, "Bukan aku menyembunyikan diri dari Kau ya Allah. Tapi aku berasa malu dan takut kepadamu ya Allah."

Berkata Allah swt, "Bukankah sudah aku larang memakan buah Khuldi itu? Bukankah sudah aku peringati bahawa syaithan itu musuhmu? Tetapi mengapa engkau masih memakan buah Khuldi itu?"

Dengan menundukkan kepala serendah rendahnya, Nabi Adam a.s dan isterinya mohon ampun dan taubat kepada Allah swt, "Ya Allah ya Tuhan kami! Kami sudah dianiayai terhadap diri kami. Kalau Engkau tidak sudi mengampuni dan mengasihani kami, nescaya kami akan berasa rugi dan sengsara berpanjangan."

Mereka terus terusan menangis dan memohon ampun kepada Allah swt.

"Demi kemuliaanKu, Engkau berdua harus meninggalkan syurga ini. Turunlah ke Bumi,di sana engkau juga boleh hidup, tetapi harus bersusah payah, memerah keringat, dan kadang kadang dengan airmata."

Dengan air mata yang berlinang, Nabi Adam a.s meminta ampun di hadapan Allah swt, "Tuhanku! Tuhanku! Ampunilah aku!"

Allah berfirman, "Kamu berdua harus turun ke Bumi. Di sanalah tempat kamu untuk meneruskan hidupmu yang penuh dengan tipu menipu, perdaya memperdayakan, berhasad dengki dan bermusuhan. Aku beri kesempatan kepada setiap kamu untuk hidup di Bumi dalam waktu yang terbatas. Kesenangan dan kesusahan yang turut terbatas. Kelak akan Aku datangkan ajal bagi tiap tiap kamu, lalu tiap tiap kamu akan Aku panggil menghadapKu, untuk mempertanggungjawab apa yang telah kamu lakukan selama kamu di Bumi itu."

"Di Bumi, kamu dan anak keturunanmu akan selalu didatangi dan digoda oleh syaithan. Di Bumi, kamu akan menghadapi perjuangan yang berat dalam menghadapi mereka. Tetapi jangan kau takut ya Adam! Kepadamu dan anak keturunanmu, akan Aku turunkan petunjuk petunjukKu. Siapa di antara kamu dan anak keturunanmu yang sentiasa mengikuti petunjukKu, dia tak akan pernah sesat dan tidak akan sengsara."

Turunlah Nabi Adam a.s dan isterinya ke Bumi. Wahyu yang pertama disampaikan oleh Allah swt mengatakan bahawa Allah swt sudah mengampuni dan menerima taubat mereka. Sungguh Allah swt maha pengampun bagi hamba hambaNya yang ikhlas bertaubat kepadaNya.

Turunnya Nabi Adam a.s ke Bumi bukanlah kerana kesalahannya memakan buah Khuldi itu kerana sebelum kejadian Nabi Adam a.s melanggar larangan Allah swt ini, Allah swt sudah mengkhabarkan kepada para malaikatNya bahawa manusia akan menjadi khalifah di BumiNya nanti.

No comments:

Post a Comment